Saturday, 13 April 2013

untuk si mata besar....hihihihi


adakah anda pemakai kanta lekap @ contact lens...
atau mungkin ingin memakai???
bace artikel nie dulu...
copy paste...

APABILA ditanya tidak teringinkah memakai kanta lekap yang dianggap akan lebihmenyerlahkan penampilan terutama jika memakai solekan mata, penulis terus menggeleng. Bukan tidak ingin bergaya, tetapi rasanya tahap kerajinan dan disiplin untuk mengikuti rutin penjagaan harian kanta lekap tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Soal disiplin amat penting bagi semua individu yang ingin memakai kanta lekap. 
Ini perkara pertama yang ditekankan oleh pakar optik atau pakar mata apabila anda menyuarakan hasrat untuk memakai kanta lekap. Jika anda tiada ciri ini, lupakan saja hasrat itu kerana sebarang kecuaian boleh mengundang masalah pada mata anda - organ yang sangat penting.

Rasanya semua orang tahu hakikat ini, tetapi masih ramai yang ‘melanggarnya’ dengan tidur bersama kanta lekap akibat terlalu letih untuk mengeluarkan dan membersihkannya. Akibatnya, keesokan paginya mata akan menjadi merah dan kanta lekap pula seolah-olah melekat pada bola mata serta susah untuk ditanggalkan.
“Fungsi utama kanta lekap adalah sebagai pengganti kaca mata iaitu untuk membetulkan penglihatan. Fungsi lain ialah untuk tujuan kosmetik; supaya kelihatan cantik - yang membuatkan semakin ramai orang memakai kanta lekap supaya kelihatan lebih menarik,” kata Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Tara Mary George.
Memang tidak salah memakai kanta lekap untuk cantik, terutama kanta lekap yang berwarna dan mampu membuatkan mata si pemakai tampak lebih galak. Pakailah apa saja warna yang anda inginkan, kata Dr Tara, tetapi ada satu syarat, pastikan ia dibeli dari penjual kanta lekap yang bertauliah dan bukannya dibeli secara dalam talian.

Menurutnya, prosedur memakai kanta lekap untuk tujuan kosmetik sama saja dengan kanta lekap yang membetulkan penglihatan. Ia masih perlukan pemadanan supaya sesuai dengan mata anda. Ramai orang tidak tahu, terlupa atau terlepas pandang bahawa kanta lekap juga perlukan pemadanan atau dalam perkataan bahasa Inggeris ‘fitting’. 

Bukan baju saja yang perlu dicuba untuk mengetahui kepadanannya dengan bentuk badan anda, malah kanta lekap juga perlukan proses yang sama. Sepatutnya proses pemadanan ini dilakukan selama dua minggu dan jika benar-benar selesa, bolehlah terus memakai kanta lekap berkenaan.

Mengapa perlu adanya proses pemadanan ini? Kata Dr Tara, satu-satu kanta lekap tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Ini kerana saiz dan bentuk mata setiap individu itu berbeza. Apatah lagi bagi individu yang ada masalah penglihatan. Jadi dalam tempoh satu hingga dua minggu ini, pakar optik anda sepatutnya menghubungi anda kembali untuk bertanya kesesuaian kanta lekap anda.

Pun begitu katanya, kaedah ini bukanlah satu kemestian tetapi lebih baik jika ia diamalkan. Malah, pengguna sendiri boleh menghubungi pakar optik sekiranya selepas dua minggu mata mereka masih tidak berasa selesa dengan kanta lekap yang diberikan.

Kanta lekap adalah cakera plastik atau silikon yang dihasilkan untuk membetulkan masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat, presbiopia (kesukaran melihat objek yang dekat atau dalam cahaya malap) atau astigmatisme (silau). 

Oleh kerana kanta lekap diletakkan betul-betul di atas mata (melekat pada kornea), maka rekaan dan pemadanan yang betul sangat penting untuk keselesaan, keselamatan dan pembetulan penglihatan.

Perubahan teknologi membuatkan kanta lekap ini lebih selesa dan mudah dipakai.
Kanta lekap boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu kanta keras dan lembut. Kanta lekap yang keras ada beberapa jenis, tetapi ia kurang diminati kerana ia kurang selesa dipakai. 

Kebanyakan orang memilih kanta lembut sama ada dibersihkan setiap hari atau jenis yang boleh dipakai untuk tempoh lebih lama - malam dan siang, tetapi ia kurang selesa. Kini ada juga kanta lekap pakai buang jenis harian atau boleh dipakai untuk satu tempoh tertentu yang lebih menyenangkan pengguna.


Siapa yang sesuai memakai kanta lekap? Secara umumnya semua orang boleh pakai kanta lekap termasuklah:
  • Individu yang mempunyai masalah penglihatan dan perlukan pembetulan penglihatan sepanjang masa. 
  • Individu yang berdisiplin tinggi dan sangat mementingkan kebersihan. Ini sangat penting kerana kanta lekap perlu dibersihkan setiap hari dengan cara tertentu. Bagaimanapun, perkara ini akan lebih mudah jika anda memilih untuk memakai kanta lekap pakai buang harian.
  • Individu yang terbabit dalam sukan kecuali berenang. Bagi mereka yang memakai kanta lekap dan mahu berenang, belilah gogal atau kaca mata renang yang bersesuaian dengan masalah penglihatan anda.


    Kanta lekap bukanlah pilihan yang baik untuk anda jika:
  • Anda tidak boleh atau tidak bersedia mematuhi arahan penjagaannya.
  • Sering mengalami masalah mengendalikan kanta lekap; contohnya anda ada sakit sendi pada tangan atau lain-lain masalah yang menyukarkan anda memakai, menanggalkan dan membersihkan kanta lekap.
  • Menghidap penyakit seperti kencing manis yang tidak terkawal. Malah pesakit asma, alahan dan lain-lain masalah respiratori kronik juga mungkin sukar memakai kanta lekap.
  • Ada masalah mata kering atau masalah pada kornea.
  • Kerap alami jangkitan mata terutama pada kelopak mata.
  • Bekerja dalam persekitaran tidak berdebu atau terdedah kepada bahan-bahan yang meruap kerana ia boleh melekat pada kanta lekap anda. 
  • Berumur 15 tahun ke bawah atau belum cukup matang untuk menjaga kebersihan diri sendiri.


    Kanak-kanak biasanya tidak disarankan memakai kanta lekap kecuali atas masalah kesihatan tertentu seperti katarak kongenital. Masalah ini biasanya berlaku pada bayi dan selepas pembedahan, mereka akan dipakaikan kanta lekap bagi membantu perkembangan mata. 

    Ibu bapa bertanggungjawab membersihkan kanta lekap bayi mereka dan kanta lekap ini perlu sentiasa ditukar sesuai dengan perkembangan mata si kecil sehinggalah penglihatannya menjadi matang (biasanya pada hujung umur remaja).


    Masalah yang kerap dialami
  • Mata kering - Ia boleh diatasi dengan mudah melalui penggunaan cecair titis untuk mata sebagai pengganti air mata. Boleh gunakan sekerap mungkin, terutama bagi mereka yang bekerja dalam bilik berhawa dingin.
  • Alahan pada kanta lekap - Individu yang mengalami masalah ini perlu mendapatkan rawatan doktor dan disusuli dengan penukaran kanta lekap. Ia biasanya terjadi akibat pengumpulan mendapan mata pada kanta lekap. 
  • Alahan pada cecair atau larutan untuk kanta lekap.
  • Keradangan mata.
  • Keradangan kelopak mata yang menyebabkan rasa tidak selesa apabila memakai kanta lekap. Bagi sebarang masalah berkaitan keradangan pada mata, segeralah berjumpa doktor mata untuk rawatan sewajarnya.
  • Masalah dengan kornea seperti bengkak dan pandangan kabur yang disebabkan kekurangan oksigen pada kornea, kornea tercalar dan berlaku perubahan bentuk kornea serta jangkitan pada kornea.
  • Ulser kornea - Walaupun jarang berlaku tetapi ia satu masalah serius kerana ulser kornea yang disebabkan kanta lekap dan tidak mendapat rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang itu hilang penglihatan. Ada kalanya pembedahan penggantian (transplan) kornea terpaksa dilakukan. 


    Ia boleh berlaku pada individu yang kurang menitikberatkan soal penjagaan dan kebersihan kanta lekap. Ini termasuklah kerap tidur tanpa menanggalkan kanta lekap, menggunakan air paip untuk mencuci kanta lekap dan tidak mencuci bekas penyimpan kanta lekap dengan bersih. 


    Panduan penjagaan kanta lekap
  • Cuci tangan anda hingga bersih dan lap kering. Sentiasa pastikan tangan anda benar-benar bersih setiap kali anda mengendalikan kanta lekap sama ada ketika memakai atau menanggalkannya. Saki baki losen, sabun atau sebarang bahan kimia yang terkena pada kanta lekap akan menyebabkan rasa pedih, gatal atau penglihatan kabur.
  • Hanya gunakan larutan pencuci kanta lekap yang disarankan doktor mata atau pakar optik anda.
  • Ikut arahan - sentiasa pastikan anda mematuhi arahan pengendalian kanta lekap.
  • Bersihkan bekas kanta lekap setiap kali selepas digunakan. Bilas dengan larutan pencuci kanta lekap beberapa kali dan biarkan kering. Tukar bekas ini setiap bulan atau seperti yang disarankan pengeluarnya.
  • Pastikan kuku anda pendek terutama pada bulan pertama anda memakai kanta lekap. Anda boleh menyimpan kuku panjang selepas mahir memakai dan menanggalkan kanta lekap tetapi atas faktor kebersihan, lebih baiklah kuku anda sentiasa pendek.
  • Perhatikan kanta lekap anda sebelum memakainya. Pastikan ia tidak terbalik kerana ia akan menyebabkan ketidakselesaan.
  • Jika anda mahu merias mata, pakai kanta lekap terlebih dulu sebelum menyapukan mekap pada kelopak mata. Tanggalkan kanta lekap dulu sebelum membersihkan mekap mata. Bagi mereka yang memakai mekap mata, pastikan alat mekap anda ditukar setiap tiga bulan bagi mengelakkan pengumpulan bakteria.
  • Jangan sekali-kali menggunakan air paip untuk membersihkan kanta lekap anda walaupun ia adalah air suling.
  • Jangan mencampurkan dua larutan pembersih kanta lekap berlainan. Anda mungkin sensitif pada satu-satu jenama.
  • Tanggalkan kanta lekap apabila mahu berenang atau mandi air panas.
  • Jangan tidur dengan kanta lekap. Walaupun ramai tahu ia boleh mengundang kepada masalah pada mata, tetapi masih ada yang ‘melanggar’ nasihat ini. 
    Pemakaian kanta lekap ketika tidur akan menyebabkan mata mengalami masalah kekurangan oksigen. Akibatnya, kanta lekap akan menjadi kering dan melekat pada mata hingga sukar ditanggalkan. Dalam keadaan ini, titiskan cecair mata.
  • Jangan pakai kanta lekap dalam tempoh yang terlalu panjang. Sebaiknya pemakaian kanta lekap tidak melebihi 10 jam sehari. 
  • Beri mata anda ‘bernafas dengan selesa’ pada hujung minggu atau setidak-tidaknya apabila anda berada di rumah dengan memakai kaca mata. 
  • Jangan pakai kanta lekap melebihi tempoh yang ditetapkan pengeluar. Jika ia adalah kanta lekap pakai buang harian, bermakna ia hanyalah untuk satu hari.
  • Jika anda mengalami sebarang masalah mata sama ada mata menjadi merah, gatal atau penglihatan menjadi kabur - tanggalkan kanta lekap anda dan segeralah pergi berjumpa doktor mata.
  • Jangan sekali-kali meminjam kanta lekap orang lain. Ini termasuklah kanta lekap untuk tujuan kecantikan terutama jika ia pernah digunakan walaupun sekali.
  • Mata individu yang memakai kanta lekap biasanya lebih sensitif terhadap sinaran matahari. Justeru itu pakailah cermin mata pelindung cahaya matahari atau topi apabila berada di luar terutama pada waktu panas terik.
  • Pastikan mulut botol larutan pembersih kanta lekap anda tidak tersentuh pada sebarang objek atau permukaan termasuklah jari anda. Jika mulut botol ini tercemar, seluruh larutan di dalamnya akan turut tercemar.
  • Jumpa doktor mata setiap tahun untuk pemeriksaan kanta lekap.


    Panduan untuk kaki jalan

    Memang kanta lekap adalah pilihan yang baik jika anda mahu bercuti panjang. 
    Tetapi ada beberapa perkara yang perlu anda beri pertimbangan seperti:
  • Jika anda perlu menaiki kapal terbang, fikirkan berapa banyak larutan kanta lekap yang boleh anda bawa ke dalam kabin. Had larutan yang dibenarkan ialah tidak melebihi 100 mililiter dalam satu bekas. Beli larutan dalam botol kecil kerana jika bekas larutan yang melebihi 100 mililiter akan dirampas walaupun isinya hanya beberapa puluh mililiter saja.
  • Bawa dua pasang kanta lekap sebagai persediaan jika berlaku kes yang tidak diduga seperti kanta lekap terjatuh atau terkoyak. Pastikan ia dibawa dalam beg tangan anda, bukan diletakkan dalam beg pakaian. Ini penting kerana manalah tahu beg anda ‘tersesat’ ke destinasi lain kerana kesilapan teknikal seperti ini boleh berlaku.
  • Udara dalam kapal terbang biasanya sangat kering yang akan menyebabkan mata anda berasa sangat tidak selesa. Bawa cecair titisan mata dalam beg tangan anda supaya ia boleh dititiskan pada bila-bila masa.
  • Lebih mudah jika sepanjang tempoh ini anda memilih kanta lekap pakai buang harian.
  • Untuk berasa lebih selesa, pakailah kanta lekap baru apabila sampai ke destinasi. 


    Dr Tara mengingatkan satu lagi perkara penting iaitu jangan membeli kanta lekap melalui Internet atau di pasar malam kerana dikhuatiri ia tercemar atau dihasilkan tanpa mengikut standard kebersihan yang ditetapkan walaupun ia hanyalah untuk tujuan kecantikan. Usah memperjudikan mata anda semata-mata mahu cantik atau murah.

    “Ramai risau kanta lekap mereka termasuk ke belakang mata apabila kanta lekap terkoyak ketika menanggalkannya. Jangan risau, ia tidak akan pergi jauh, selalunya serpihan kanta lekap itu akan terselit di bawah kelopak mata. 

    “Titiskan larutan pencuci kanta lekap pada mata sehingga mata berair. Kelipkan mata beberapa kali. Serpihan kanta lekap akan keluar. Jika masih tidak keluar selepas kaedah ini diulang beberapa kali, pergilah berjumpa doktor.

    “Bagi mereka yang baru mencuba memakai kanta lekap, jadikan amalan memulakan pemakaian pada mata yang sama setiap kali. Contohnya, pakai kanta lekap pada mata kiri dulu. Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan dan tertukar kanta lekap dari mata kiri ke kanan kerana ia boleh menjejaskan ketajaman penglihatan terutama bagi individu yang ada masalah kekaburan berbeza antara kedua-dua belah mata,” katanya.

    Apa yang perlu dilakukan sekiranya kanta lekap terjatuh ke dalam sinki ketika hendak memakainya? 

    Menurut Dr Tara, kanta lekap itu perlu dibersihkan terlebih dulu menggunakan cecair pembersih sebelum dipakai. Langkah ini penting bagi mengelakkan berlakunya pemindahan bakteria yang mungkin ada di sinki ke dalam mata.

    Selain itu beliau turut memberikan soalan penting kepada individu yang mahu mencuba kanta lekap bagi mengetahui kesediaan anda untuk muncul dengan penampilan baru.


    Soalan untuk ditanya pada diri sendiri:

    1. Mengapa saya perlu memakai kanta lekap? Berapa kerap saya mahu memakainya?

    2. Apakah jenis kanta lekap yang saya mahu - sama ada pakai buang (harian) atau jenis yang boleh dipakai lebih lama?

    3. Adakah saya mempunyai masalah mata di mana pemakaian kanta lekap boleh menyebabkan komplikasi?

    4. Adakah saya bekerja dalam persekitaran yang kotor dan berdebu?

    5. Adakah saya cukup berdisiplin dan ada masa untuk penjagaan harian kanta lekap?

    6. Adakah saya ada akses kepada doktor mata jika berlaku masalah pada mata saya?

    7. Adakah saya ada cukup wang untuk membeli kanta lekap?
  • 1 comment:

    1. kebersihan+pemjagaan antara yg plg penting.

      ReplyDelete

    sayang kamoo...thanz form comment
    ad mase datang lah lagi....komen baik2....kerana anda adlh insan yang baik <3 <3